Thursday, April 29, 2010

PERUBATAN CARA TRADISI

PERUBATAN CARA TRADISI
Di zaman yang serba moden ini, dunia perubatan memang terkenal dengan kecanggihannya. Baru-baru ini di negara kita sahaja iaitu Malaysia,
pakar-pakar perubatan telah membuat satu pemindahan hati melalui pembedahan
dari seorang yang sihat kepada seorang pesakit kanak-kanak yang amat
memerlukannya. Ini menunjukkan dunia perubatan sekarang teramatlah kompleks
sekali.
Tetapi di dalam kecanggihan dan kemodenan tersebut perubatan cara tradisi
masih lagi digunakan dalam masyarakat kita. Tidak semua perubatan cara
moden dapat mengubati sesuatu penyakit tersebut. Perubatan cara tradisi
masih lagi digunakan dengan meluasnya oleh masyarakat di Malaysia dan di
dunia. Ini diperakui oleh pakar-pakar perubatan moden masa kini.
Di dalam konteks ini kita akan melihat perubatan cara tradisi di dalam
masyarakat di Malaysia iaitu masyarakat Melayu, China dan India. Di dalam
masyarakat Melayu sendiri perubatan cara tradisi ini masih lagi digunakan
dengan meluasnya terutama di kampung-kampung. Di sini kita akan
membincangkan beberapa penyakit yang boleh diubati dengan menggunakan
perubatan cara tradisi ini.Kebiasaannya perubatan cara tradisi ini
menggunakan beberapa jenis tumbuh-tumbuhan yang dipercayai boleh
menyembuhkan sesuatu penyakit dan ini juga diakui oleh ahli-ahli sains atau
ahli-ahli Etnobotani.
Contoh perubatan cara tradisi dalam masyarakat Melayu ialah dengan
menggunakan jampi serapah oleh seseorang yang digelar bomoh iaitu dengan
membaca ayat-ayat suci Al-Quran sambil meminta doa pada Allah supaya
penyakit seseorang itu dapat diubati. Ada juga dengan menggunakan beberapa
jenis tumbuh-tumbuhan untuk penyakit yang tertentu. Kita akan membincangkan
beberapa contoh-contoh penyakit yang menggunakan tumbuh-tumbuhan dan cara menggunakannya serta jenis-jenis penyakit.

1. Pokok Beka iaitu ubat untuk alahan mengandung.
Cara menggunakannya – kikis buangkan kulitnya, kemudian tumbuk dan
perah lalu ambil airnya kemudian minumlah.

2. Lempoyang untuk penyakit Anaemia(Kurang darah merah).
Cara menggunakannya – Ambil 3 kerat lempoyang, dibasuh lalu diparut
atau ditumbuk sehingga halus (jangan dikupas kulitnya, kerana ia
banyak mengandungi hormon) lalu direbus dengan air sebanyak 3 gelas
dan bubuh gula jawa secukupnya, biarkan ia mendidih sehingga tinggal
satu gelas.Setelah dingin minumlah sebaik-baiknya sebelum tidur.

3. Bawang Merah (Allium cepa) untuk jari bernanah disebabkan tercucuk
sesuatu yang tajam.
Cara menggunakannya – Ambil 3 sulur bawang merah, lalu ditumbuk
jangan terlampau lumat. Kemudian bubuh satu sudu besar minyak
kelapa dan dibungkus dengan menggunakan daun pisang, kemudian
dipanaskan. Apabila sudah agak panas tampalkan ramuan tersebut
pada tempat yang sakit dan dibalutkan dengan kain pembalut
luka. Hendaklah dibuat 3 kali sehari.

4. Kunyit (Curcuma domestica) untuk penyakit bengkak-bengkak
merah di badan atau terkena gigitan serangga.
Cara menggunakannya – Ambil sepotong kunyit, kemudian
parutkannya, bubuhkan kapur sireh dan air, panaskan ramuan
tersebut dan apabila sudah sejuk bubuhlah di tempat yang
bengkak.

5. Pokok Kemunting Cina (Laochnera rosca) untuk penyakit barah
barah(Leukimia) .
Cara menggunakannya – Pokok ini menghasilkan alkaloid
vinsblastina dan vinskristina. Ambil 20 gram kemunting
cina(bunga warna merah atau putih) yang sudah dijemur kering
lalu rebuskan, setelah airnya dingin minumlah. Hendaklah
diminum 2 kali sehari.

6. Daun bacang untuk penyakit gusi berdarah.
Cara menggunaknnya – Ambil beberapa helai daun bacang dan masukkan ke
dalam periuk berisi air, campurkan dengan beberapa helai daun inai.
Kemudian rebuslah dan setelah airnya mendidih bubuhlah sedikit asam
gelugur dan garam secukup rasa. Setelah airnya suam bubuhlah ke dalam
mulut dan biarkan selama 3 minit lalu berkumur-kumur. Buatlah dua
kali sehari.

7. Bawang besar untuk penyakit batuk(suara/ kahak pekat).
Cara menggunakannya – Ambil 2 biji bawang besar, buangkan kulitnya
lalu ditumbuk atau dimesin sehingga hancur, kemudian tapiskan lalu
ambil airnya dan diminum sekadar 3 sudu besar, minumlah 2 kali
sehari.

8. Betik muda untuk penyakit sakit pinggang.
Cara menggunakannya – Ambil sebiji buah betik muda, potonglah agak banyak kesebelah pangkalnya sehingga menjadi dua bahagian, kemudian bubuhkan sebiji telur ayam kampung ke dalam lubang pangkal betik tersebut, lalu disambungkan semula buah betik itu sehingga seperti
asal. Kemudian betik itu dibubuh di dalam abu yang masih hidup apinya sehingga betik itu menjadi lembik dan telurnya masak. Makan telurtersebutseminngu sekali.

9. Lobak merah (Carrot)untuk hapuskan cacing kerawit.
Cara menggunakannya – Ambil air perahan lobak merah dan campurkan dengan santan kelapa pekat bila hampir waktu tidur. Minumlah air tersebut ketika hendak tidur.

10. Pohon dukung anak untuk demam kuning.
Cara menggunakannya – Ambil segenggam daun daripada pohon
dukung anak. Dikenali dengan nama daun Tiking. Tumbuk sampai
halus, kemudian tuangkan air masak yang suam ke dalamnya dan
campurkan sedikit garam. Minumlah air tersebut segelas pagi dan
petang.
Apa yang dapat kita lihat dari penjelasan di atas adalah
merupakan sedikit contoh atau jenis-jenis tumbuhan yang dapat
membantu dalam mengubati berbagai-bagai jenis penyakit dan
cara-cara yang digunakan oleh masyarakat melayu kebanyakannya.
Sekarang kita akan membincangkan pula sedikit perubatan cara
tradisi masyarakat India. Perubatan cara tradisi masyarakat
India yang terkenal ialah Ayurveda. Ayurveda adalah salah satu
perubatan cara bagaimana hendak hidup untuk mengubati penyakit.
Ayur bermakna kehidupan sementara Veda pula bermakna ilmu atau
pengetahuan. Ayurveda juga merupakan satu kepercayaan ataupun
lagenda dan fakta dalam masyarakat India. Ia mempunyai lima
elemen asas iaitu ruang, udara, api dan tanah. Ayurveda
mempunyai tiga Dosha yang utama iaitu faktor fizikal dan emosi.
Tiga Dosha yang tersebut adalah Vata, Pitta dan Kapha.
Vata terdiri daripada ruang dan udara di mana ia berkaitan
tenaga dengan pergerakan. Kepercayaan masyarakat India pada
Vata ini ialah ia mengawal pernafasan, pergerakan otot dan
tisu. Seseorang yang mempunyai Dosha Vata ini adalah seorang
yang seimbang, maknanya seseorang itu mempunyai kreativiti dan
fleksibiliti, seorang yang sangat aktif dan berhati-hati di
dalam melakukan sesuatau perkara tetapi mereka yang mempunyai
Dosha Vata ini adalah seorang yang sentiasa dalam ketakutan dan
keresahan.
Dosha Pitta pula adalah terdiri dari api dan air di mana api
berada di atas air. Pitta ini megawal digestion, nutrition,
metalbolisme dan suhu badan seseorang. Mereka yang mempunyai
Dosha Pitta ini adalah seorang yang seimbang pemikirannya.
Maksudnya di sini adalah seseorang itu boleh di ajak berunding
di dalam sesuatau perkara, bertolak ansur dan juga memahami
perasaan orang lain serta mereka ini adalah tergolong dalam
orang-orang yang bijaksana. Tetapi perkara negatifnya pula
mereka ini mempunyai perasaan takut, marah, benci dan cemburu
terhadap orang lain. Jadi api dan air tadi memberi makna bahawa
mereka ini adakalanya tenang dan adakalanya menjadi marah pada
perasaan mereka.
Dosha Kapha pula adalah terdiri dari tanah dan air di mana
ianya membentuk struktur badan seperti tulang, otot, tendon dan
sebagainya. Perkara positif yang ada pada mereka ini adalah
mereka ini sentiasa tenang, bertolenrasi tinggi dan mudah
memaafkan seseorang. Perkara negatifnya pula ialah mereka ini
kebiasaannya seseorang yang tamak dan kuat cemburu.
Jadi Ayurveda ini adalah satu perubatan cara tradisi yang
digunakan melalui sikologi. Di India 80% penduduknya
mengamalkan Ayurveda ini. Selain daripada ketiga-tiga Dosha
tersebut masyarakat India juga menggunakan tumbuhan untuk
mengubati penyakit. Contohnya ialah seperti tumbuhan Chandra.
Di dalam bahasa sanskrit ianya bererti bulan. Di dalam bahasa
saintifiknya ialah Roulwolfia Serpina ataupun dalam bahasa
Inggerisnya ialah Indian Snake Root. Ianya adalah sejenis pokok
renik (Shrub) dan nilai perubatannya adalah tinggi iaitu dengan
akarnya yang berlingkar dan ia amat berkesan dalam mengubati
penyakit gigitan ular ataupun serangga berbisa. Di samping itu
ia juga boleh mengubati penyakit jantung . Pada masa sekarang
ini dunia perubatan memang menggunakan tumbuhan Chandra ini
secara saintifik.
Setelah kita membincangkan perubatan cara tradisi dalam
masyarakat melayu dan India mereka kita akan membincangkan pula
tentang perubatan cara tradisi masyarakat cina pula. Seperti
yang kita semua tahu masyarakat mempunyai nilai perubatan cara
tradisi yang terkenal contohnya seperti di kedai –kedai "Sien
Seey" di mana berbagai-bagai jenis tumbuhan dijual khusus untuk
berbagai jenis penyakit.
Herbal yang terkenal sekali dalam masyarakat Cina ini adalah
cendawan ataupun Lingzhi dalam bahasanya ataupun Ganoderma
dalam bahasa sainsnya. Seperti yang diketahui kebanyakan
cendawan atau kulat ini adalah beracun tetapi tidak semuanya
merbahaya di mana ia mempunyai nilai perubatan yang tinggi.
Cendawan ini bukan sahaja dipercayai bukan sahaja pada
masyarakat cina tetapi semua golongan masyarakat di dunia ini.
Cendawan adalah suatu tumbuhan yang dapat mengubati berbagai
jenis penyakit seperti kencing manis, asma, lelah, luka-luka
dan sebagainya. Pada zaman dahulu di negara China iaitu pada
zaman Maharaja Chi Wan Ti cendawan ini adalah makanan bagi
keluarga di raja sahaja. Rakyat biasa tidak dibenarkan memakan
cendawan ini. Cendawan ini dijaga oleh pihak tentera supaya
tidak diceroboh. Dipercayai juga cendawan tadi boleh
memanjangkan umur seseorang itu kerana itulah raja-raja di
zaman dahulu di negara China dapat hidup dengan lama. Ini
adalah kerana cendawan tadi merupakan pemakanan mereka. Mereka
percaya bahawa kandungan cendawan tadi boleh mengubati
berbagai-bagai jenis penyakit dan kaedah saintifik juga telah
membuktikannya pada zaman ini. Cendawan-cendawan telah di tanam
dengan kaedah yang saintifik untuk di jual sebagai pemakanan
untuk kesihatan dengan harga yang tinggi. Banyak negara telah
menanam cendawan ini untuk dihasilkan sebagai satu pemakanan
untuk kesihatan dan untuk dijual contohnya seperti di Taiwan
dan Malaysia sendiri.
Setelah kita membincangkan serba sedikit tentang perubatan cara
tradisi pada masyarakat melayu, India dan China, kesimpulan
yang dapat kita ambil dari perbincangan ini ialah bahawa
perubatan cara tradisi masih lagi digunakan secara meluasnya
terutama dengan menggunakan beberapa jenis tumbuh-tumbuhan.
Di sini juga kita akan dapat melihat beberapa jenis nama-nama
tumbuhan secara vernakular, ataupun sainsnya. Projek ini juga
disertakan dengan beberapa jenis gambar tumbuh-tumbuhan yang
digunakan dalam perubatan cara tradisi.

RUJUKAN
Azahari Ibrahim – Ubat-ubatan Tradisi Tradisional Melayu
Dr. Ahmad Ismail(Universiti Kebangsaan Malaysia)- ETNOBOTANI, tumbuhan.
manusia dan kehidupan.

No comments: